Sunday, January 31, 2010

Utusan Malaysia [30th Jan 2010] - Kadar faedah dinaikkan?

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini membayangkan bakal menaikkan kadar faedah selepas mengekalkan kadar sedia ada hampir setahun.

Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, Malaysia perlu 'mengembalikan' semula kadar faedah seperti biasa untuk mengelakkan gelembung aset, meskipun ia belum berlaku dalam ekonomi lagi.

Tambah beliau, pengekalan kadar faedah semasa boleh mengakibatkan pelbagai risiko akibat ketidakseimbangan kewangan.

''Kadar faedah yang rendah dan terlalu lama akan menyebabkan orang ramai memindahkan aset dan kewangan kepada pasaran yang menawarkan sistem kewangan yang normal bagi meningkatkan pulangan ke atas simpanan masing-masing.

''Keadaan ini, jika tidak ditangani segera akan menimbulkan pelbagai masalah di kemudian hari.

''Kita tidak mahu menunggu sampai ia berlaku sebelum membuat sebarang tindakan,'' katanya ketika ditemui selepas syarahan awam oleh Dr. Abbas Mirakhor anjuran Inceif di sini hari ini.

Beliau berkata, BNM mengambil keputusan untuk mengurangkan kadar faedah secara signifikan pada tahun lalu dalam usaha menangani kemelesetan.

''Sebab itu, BNM mengurangkan kadar faedah ke paras paling rendah tetapi kita perlu 'mengembalikan' kadar faedah ke tahap normal semula,'' jelasnya.

Ditanya mengenai unjuran penganalisis mengenai kenaikan kadar faedah yang sederhana selepas ini, Zeti bagaimanapun enggan mengulas.

''Saya tidak mahu komen mengenai kedudukan kadar faedah kerana setiap kali mesyuarat MPC, keputusan akan dibuat dan ia diumumkan,'' jelas beliau.

Jawatankuasa Dasar Monetari dijadualkan mengadakan mesyuarat kedua pada 4 Mac ini.

Beliau berkata, kenyataan mengenai polisi monetari mengenai pengekalan OPR sebanyak dua peratus baru-baru ini tidak sepatutnya dilihat sebagai indikator mengetatkan dasar kewangan.

Perbezaan perlu dibuat untuk mengembalikan kadar faedah dan mengetatkan kadar faedah memandangkan teras polisi (monetari) untuk mengekalkan akomodatif bagi menyokong pertumbuhan, terutama pada persekitaran, yang mana inflasi kekal sederhana, tambah Zeti.

BNM yang mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat MPC Selasa lalu berkata, dasar monetari akan kekal menyokong pertumbuhan bagi memastikan pemulihan ekonomi betul-betul kukuh.

Tetapi, pada masa yang sama, MPC juga menyedari akan keperluan untuk memastikan pendirian dasar monetari adalah wajar bagi mengelak ketidakseimbangan kewangan yang mungkin berlaku disebabkan oleh kadar faedah yang terlalu rendah untuk satu tempoh masa yang lama.

No comments:

Post a Comment